Thursday 12 January 2017

Hazra 3Juara Impi Bekerjasama dengan Siti Nurhaliza



Tatkala mendengar lontaran suara yang dikeluarkan oleh wanita ini dalam program 3Juara yang lalu, kami amat tertarik ingin mendapatkannya untuk isu kali ini. Terkesima ketika pertama kali mendengar beliau mengalunkan lagu Laila Canggung yang disifatkan agak ‘sukar’ untuk dibawa, Hazra juga turut berkongsi kisah suka duka dalam melayari dan merenangi irama Malaysia ini. Alhamdulillah, kami berjaya dapatkannya dan khabarnya wanita berumur 30 tahun dari Sarawak ini bakal tampil dengan single terbaru tidak lama lagi.


PEMBABITAN & CINTA IRAMA MALAYSIA
Ketika dihubungi, pemilik nama Hasraniza binti Dollah atas mesra disapa Hazra ini sangat memuji dan memandang tinggi bakat yang dimiliki oleh figura kesayangan ramai, Dato’ Siti Nurhaliza. Beliau turut menjadikan Siti sebagai idola dalam kariernya. “Saya mula meminati Irama Malaysia sejak lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza popular sejak dahulu. Sejak itu, hati saya terpikat dengan irama Tradisional”, tambahnya. Selain itu, minat terhadap lagu berentak ini semakin membuak-buak apabila sekolah lamanya menganjurkan Bengkel Lagu Melayu Asli dibawah tenaga pengajar Azlan Golie.

Foto Raja King Faizal

“Lama kelamaan, lagu-lagu tradisional mula meresap kuat ke dalam jiwa saya. Selepas tamat Tingkatan 5, saya telah nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan diri dalam bidang  vokal tradisional. Alhamdulillah, ianya ibarat satu rezeki yang tidak ternilai kerana saya berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya Ijazah di ASWARA (pada 2005 hingga 2011)”, ucapnya. Menariknya, bukan sahaja Hazra pernah berkerja dibawah tenaga pengajar Allahwayham Rahim Jantan dan R.Ismail, wanita berumur 30 tahun ini juga pernah dinobatkan sebagai Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008.

3JUARA
Seperti sedia maklum, perjalanan Hazra dalam 3Juara terhenti di peringkat separuh akhir apabila beliau gagal mara ke akhir dengan % tipis berbanding pencabarnya, Nura. “Tidak saya sangka perjalanan saya dalam 3Juara berjaya sehingga tahap ini. Sejujurnya saya juga terkejut kerana berjaya melangkah ke semifinal kerana semua peserta bagi kategori ini sangat hebat”, jelasnya. Beliau turut akui bahawa pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu dilalui dalam 3Juara ini dan bukanlah menjadi satu titik noktah baginya untuk berhenti berkarya ."Saya akan jadinya 3Juara sebagai platform yang terbaik dan kegagalan lalu sebagai titik permulaan kepada kejayaan akan datang, inshaAllah”, senyumnya.
suami yang sentiasa menyokong

CABARAN LAGU LAILA CANGGUNG?
Jika kita melihat beberapa persembahan Hazra bermula dari solo dan battle, Hazra sentiasa tampil dengan persembahan yang bertenaga dan mencuri perhatian juri. Antara lagu yang menjadi favourite kami seperti Laila Canggung, Syurga Di Telapak Kaki Ibu (battle bersama Tyka), Mentera Semerah Padi (battle bersama Rahman), Awan Nano & Asmaradana (battle bersama Azizul) dan beberapa lagi antara yang mencuri perhatian. Akan tetapi, rupanya ada kisah disebalik dan cabaran lagu tersebut ya? Apa ya? . “Lagu yang paling mencabar adalah Laila Canggung, Mentera Semerah Padi (battle Semifinal 1) dan Asmaradana (battle Semifinal 3) kerana saya dan Azizul terpaksa berkerja keras untyk mempelajari dan bermain alat muzik Jidor”, jelasnya. Selain itu juga, Hazra turut mengakui dirinya benar teruji ketika di Top8 dimana pada waktu tersebut beliau perlu memenangi hati semua juri dalam 3Juara. “Saya perlu betul-betul bersedia sebelum memulakan persembahan dan jika bercakap tentang cabaran besar, saya perlu menggali idea-idea dan improvisasi yang baru setiap minggu supaya lagu yang disampaikan berbeza dari penyanyi asal tetapi tidak menghilangkan akar lagu tersebut,” tambahnya.

SINGLE TERBARU
Khabarnya, Hazra bakal ada single baru? Betul ke? . “InsyaaAllah kalau tiada aral melintang, saya akan mula merakamkan single pertama saya pada Februari 2017 nanti,” jelasnya. Selain itu, beliau akan terus bergiat aktif dengan kumpulan Alun Tradisi. Bercakap mengenai Alun Tradisi, ianya adalah sebuah kumpulan yang disertainya bersama rakan-rakan. Menariknya, Alun Tradisi juga pernah dinobatkan sebagai Johan Kumpulan Lagu Melayu Asli MBPJ pada tahun 2010.

MEMINATI & HAJAT BEKERJASAMA DENGAN SITI NURHALIZA
Figura kesayangan Malaysia, Siti Nurhaliza menjadi pilihan Hazra jika diberi kesempatan dan peluang untuk bekerjasama. “Saya amat meminati Siti sejak dari dulu lagi, dan Ya jika diberikan peluang saya ingin bekerjama dengannya inshaaAllah,” jelasnya.  Selain Siti, Hazra turut menjadikan ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris sebagai sumber inspirasi dalam penyampaian lagu-lagu Irama Malaysia.


TERIMA KASIH SEMUA
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada production team 3Juara, penerbit 3Juara Abg Sufian Isa, penasihat persembahan Abg Sazlan, produser kesayangan Pak Ngah Suhaimi dan semua juri tetap 3Juara kerana percaya akan bakat saya untuk berdiri di pentas 3Juara setanding dengan peserta hebat yang lain. Akan saya sematkan segala tunjuk ajar dan ilmu yang diturunkan ke dalam jiwa saya sebagai bekalan masa hadapan”

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih dan pujian yang tidak terhingga kepada penaja busana indah saya setiap minggu, Zamrimat Kuala Lumpur, MUA Suhaib Daud dan koreografer Fairuz Fee Tauhid serta rakan-rakan saya yang lain. Jasa kalian akan saya kenang sampai bila-bila. Tanpa anda semua, saya takkan berada di sini”.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...