Thursday 20 November 2014

Hasrat Tercapai, SHARIFAH KHASIF Muncul dengan Album Tarannum



’Album ini adalah satu dakwah, tutur juara Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, Sharifah Khasif ketika berkongsi prihal karya terbaru beliau, Surah-Surah Pilihan Tarannum di Sidang Media dan Majlis Pelancaran Album yang diadakan di Al-Rawsha Restaurant.

SHARIFAH KHASIF, satu nama yang usah diperkenalkan lagi, beliau yang sangat sinonim dengan alunan tarannum dan teknik lontaran suara dalam alunan ayat Al-Quran yang luar biasa apatah lagi selepas dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009. Bukan sahaja menjadi perhatian di negara asal, SHARIFAH KHASIF juga mendapat tempat di serata dunia termasuk Timur Tengah dan Eropah seperti Iran, Turki, Mauritius, Durban, Kanada, Amerika Syarikat, Indonesia dan banyak tempat lagi.

Selain bergerak aktif dalam seni tarannum, beliau tidak mensia-siakan anugerah Allah yang diberikan kepadanya itu apabila beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ilmiah di beberapa stesen radio dan televisyen termasuklah Kalamullah, Qari Junior, Tilawah Interaktif, Shoutul Quran dan sekaligus berkembangnya karier beliau sebagai qariah dan personaliti tv. Lebih menarik lagi, beliau mendapat ‘sanad’ iaitu satu pengikhtirafan kefasihan bacaan Al-Quran daripada Sheikh Fathi Hasan Mohamad Hasan Al-Maliji (Mesir), Syeikh Basheer Hasan Ali Al-Himyari (Yemen) dan Syeikh Inani Nafiq (Mesir).

Atas dasar cintakan Al-Quran yang sangat mendalam dan merancang menghasilkan sesuatu yang istimewa, kini album yang dinantikan oleh beliau dan pencinta seni tarannum akhirnya tercapai. Setelah tampil dengan album pertama, AL HUSNA pada tahun lepas, ini adalah sentuhan dan album kedua dibawah label syarikat miliknya, Sharifah Khasif Productions. Album ini memuatkan 7 surah-surah pilihan tarannum asas dan tampak menarik lagi apabila turut memuatkan satu contoh gaya bacaan pada surah panjang berdurasi lebih 15 minit. Pada majlis tersebut, Ketua Hakim Tilawah Al-Quran yang amat dikagumi, Tan Sri Hassan Azhari diberi penghormatan untuk melancarkan album ini. Majlis diserikan dengan persembahan istimewa oleh UNIC dan Abu Talib sebagai pengemudi majlis.

Album ini mendapat sokongan dan kerjasama bersama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Album ini akan memasuki pasaran dalam bentuk fizikal pada 12 November 2014.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...