Monday 1 July 2013

Al Husna Taruhan Unggul Sharifah Khasif


Sharifah Khasif telah mencipta nama sebagai qariah antarabangsa setelah Berjaya dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa pada tahun 2009 dengan pencapaian terbaik sepanjang bergelar Qariah. Tanyakan sesiapa sahaja yang sentiasa mengikuti perkembangan Tilawah Al-Quran samada peringkat kebangsaan mahupun program televisyen, namanya pasti menjadi sebutan. Sharifah Khasif Fadzilah Binti Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya pernah muncul sebagai naib johan program realiti terbitan TV9 ‘ Akademi Al-Quran ‘ musim ketiga sebelum ke persada antarabangsa pada tahun 2009.


Disinilah bermulanya karier beliau sebagai seorang qariah dan personality tv di negara kita. Sharifah Khasif mula ditawarkan untuk menjadi pengacara tv, program pertama yang dikendalikan oleh beliau adalah Indahnya Kalam Suci. Sejurus selepas itu, rezekinya sebagai pengacara semakin melimpah apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Akademi Al-Quran, Kalamullah, Qari Junior, Tilawah Interaktif Al Quran dan Tadbir Ringgit. Kesemua program tersebut bercorak islamik yang disiarkan di televisyen tempatan.

Sharifah Khasif terus mengharumkan nama negara apabila beliau dipilih mewakili Malaysia ke jemputan bacaan Al Quran di serata dunia seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Mauritius, Afrika Selatan, Thailand, Iran, Austria, Kanada, dan juga Amerika Syarikat. 

Lanjutan dalam pengajian Al Quran ini, beliau akhirnya mendapat ‘sanad’ iaitu pengiktirafan kefasihan bacaan Al Quran daripada Sheikh Mesir dan Yemen.
Berbekalkan pengalaman yang ada, Sharifah Khasif terus mengorak langkah dengan menceburi bidang yang baru baginya selaku penerbit eksekutif album AL HUSNA yang dialunkan oleh beliau sendiri yang menjadi taruhan bagi memeriahkan industry seni tanah air.

kredit pic : budiey
 

Sharifah Khasif, 31, pemegang ijazah kewangan daripada Universiti Tenaga Nasional ( UNITEN ) menaruh harapan yang tinggi terhadap album AL HUSNA kerana baginya ia amat bermakna dan tidak ternilai harganya. Sepanjang bergelar qariah tersohor negara, penghasilan album ini adalah menjadi impiannya sekian lama. AL HUSNA merupakan produk pertama yang diterbitkan dibawah syarikatnya sendiri iaitu SharifahKhasif Production Sdn Bhd.

“ album ini diterbitkan atas dasar minat yang mendalam terhadap keindahan seni qasidah burdah dan lagu-lagu arab. Kalau dulu saya gemar mendengar alunan hebat dari penyair  arab seperti Ummi Kalthom, Wardah, Abdul Halim Hafez dan ramai lagi. Kini saya ingin berkongsi dengan masyarakat untuk memperlihat keindahan seni. Saya berharap agar mereka yang mendengar akan mendapat manfaat dari album AL HUSNA ini “. Dengan menggunakan khidmat composer terkenal, Yasin Sulaiman sebagai penerbit, Sharifah Khasif yakin dengan kualiti yang ada pada setiap lagu yang dihasilkan. “Yasin memainkan peranannya sebagai composer agar lagu-lagu yang terdapat dalam album ini memenuhi citarasa pendengar” . Rakaman album ini mengambil masa selama 4 bulan untuk disiapkan dan dirakam di Harem studio milik Yasin sendiri.

Album AL HUSNA yang dilancarkan pada 27 Jun 2013 lepas bertempat di Hotel Royale Bintang Damansara mempunyai 6 buah lagu antaranya Asmaul Husna, Ya Imam Arrusli, Law Kana Bainana, Mawlay Ya Salli, Tholama Asyku Gharomi dan Sollu Ala Kahiril Anam. Lagu popular Law Kana Bainana dipilih untuk dimuatkan masuk dalam album tersebut kerana beliau amat meminati lagu tersebut dan terlalu dekat dihatinya selain ingin memberikan kelaianan kepada pendengar kerana mereka sering mendengar versi lelaki dan kali ini dengan versi wanita.

Bagi memastikan kelancaran penjualan album ini, pihak SharifahKhasif Production Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama dengan Arteffect Sdn Bhd dan Warner Music (M) Sdn Bhd yang dilantik sebagai pengedar ke pasaran Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

AL HUSNA mula dijual pada 28 Jun 2013 dan boleh didapati di outlet muzik popular dan kedai buku islamik dengan harga RM29.90. Untuk maklumat lanjut, tentang Sharifah Khasif dan album AL HUSNA khususnya boleh layari www.sharifahkhasif.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...