Sunday, 29 September 2013

LENTERA TIMUR BUKTI SITI TETAP BERBISA..!


Tarian penuh keaslian, garapan muzik penuh sempurna dengan elemen kemelayuan yang tidakkan luput dek zaman dan dengan berdirinya seorang wanita yang berjaya mengalunkan lagu warisan melayu dan warna warni kepelbagaian bangsa di Malaysia di pentas berprestij dunia di Panggung Sari Istana Budaya, nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni tanah air, seorang DIVA negara, Dato’ Siti Nurhaliza menggunakan pengalaman sebaik mungkin selama 18 tahun dalam bidang muzik menyampaikan sekitar 35 buah lagu pada 4 malam di Istana Budaya.


Dibahagikan dengan beberapa segmen yang amat gamat, Dato’ Siti diibaratkan sudah ‘sebati’ dengan corak interaksi bersama penonton sehinggakan penonton tidak kering gusi dengan lawak jenaka dari segmen yang dibuat. Dimulakan dengan tarian Mak Yong dan ala donde yang sangat gemalai daripada Siti Nurhaliza dan penari Mak Yong terkenal Malaysia, penonton terbuai disusuri dengan pembukaan lagu dan karya terulung daripada Pak Ngah Suhaimi, Nirmala. Tidak dinafikan kehebatan Siti dengan lagu Nirmala, pengawalan vokal yang bagus daripada beliau menunjukkan beliau berdiri di liga beliau yang tersendiri.


‘AURA’ pendokong irama tradisional yang diwarisi daripada arwah datuknya, Bachik Abdul Rahman dan ibunya Siti Salmah Bachik, maka tidak hairanlah jika pesona dan lenggok Melayu didapati pada ‘tubuh’ gemalai insan seni bernama Siti Nurhaliza, daripada menarikan tarian Mak Yong, sehinggakan menyusuri suasana kekampungan dan bermain gamelan, garapan indan tersebut tidak ada satupun membuatkan setiap daripada yang menontonya kebosanan. Ditambah lagi dengan segmen yang ditunggu adalah perlawanan Dikir Timur iaitu Dikir Pahang yang diwakili Siti berentak dengan Dikir Kelantan yang diwakili oleh Protégé kepada Sabri Yunus, Isey.


Pemilihan lagu yang segar dan evergreen untuk Konsert Lentera Timur ini sangatlah penting dan tepat sekali. Karya wajib daripada Siti seperti Nirmala, Balqis, Cindai antara ‘makanan wajib’ bagi Siti dalam setiap nyanyiannya yang dianggap lagu tuah buat dirinya dalam genre Irama Tradisional. Medley ‘Orang Merajuk’ yang disimbolikkan kepada dirinya sangat menyentuh hati apabila beliau membawa setiap hati penonton berasa sayu tatkala beliau mengalunkan PATAH HATI dengan lenggok yang sangat syahdu dan diteruskan JANJI dan KAU PERGI TANPA PESAN.


Dalam Konsert Lentera Timur juga, persembahan Siti ditambahkan seri dengan penampilan Raja Gelek Malaysia dan seorang lagenda seni tanah air, Datuk M.Daud Kilau yang memang membuatkan suasana di dalam dewan bertukar lagi gamat. Datuk M.Daud KIlau mendendangkan lagu popularnya, Cek Mek Molek dan Laksamana Raja Di Laut bersama Siti Nurhaliza. Antara lagu yang dinyanyikan oleh Siti pada malam penuh tradisional itu adalah seperti Bulan Yang Mesra, Sulam Sembilan, Masri Manis, Mahligai Permata, Ya Maulai, Empat Dara, Kurik Kundi, Damak dan banyak lagi dengan sentuhan magis daripada Aubrey Suwito dan Mohd Yazid Zakaria dan pengarah persembahan oleh Lokman Ghani. Antara keistimewaan lain yang ditonjolkan oleh Siti pada malam tersebut adalah lagu terkenal beliau, BIARLAH RAHSIA telah diberi nafas baru dan digubah dengan sangat cantik menjadi sebuah lagu tradisional yang sangat indah. Siti juga menyarungkan busana dari 5 pereka fesyen tersohor Malaysia iaitu, Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry, Nazreen Idris dan Cosry.


Persembahan yang diadakan selama 4 hari iaitu bermula 20 sehingga 22 dan disambung pada 24 September boleh diangkat antara persembahan hebat Siti Nurhaliza dan tidak keterlaluan jika dikelaskan konsert terbaik tahun ini. Manakan tidak, ini antara konsert yang ditunggu-tunggu oleh peminat beliau dan peminat irama tradisional dan asli.


DOMINASI LELAKI : Alhamdulillah, DL juga berkesempatan untuk menghadiri dan menyaksikan sebuah konsert yang 100% sangat berbaloi untuk ditonton. Tahniah kepada team kuat Siti Nurhaliza, OTM dan Istana Budaya untuk konsert yang gilang gemilang. Diharapkan konsep seperti ini masih dapat diteruska pada masa akan datang agar lagu-lagu Melayu dan irama Tradisional tidak tenggelam dek arus moden sekarang. Seronok tatkala hadir bersama orang kuat Sitizoners seperti Fadz, Khyree, Lee, Rezwan, Ezmi, Ameer dan ramai lagi yang turut hadir member sokongan yang sangat utuh.

kredit gambar : Razzmann dan koleksi pribadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...