Monday, 16 April 2012

Hadiah Daripada Hati SITI Buat Peminat..!


KEBELAKANGAN ini fikirannya kerap diganggu dan sering terbayang dirinya berada di stadium dipenuhi ramai orang. Ilusi dialaminya itu sehingga menghalusi kejadian di sekeliling pentas. Di mana dirinya ditemani gadis dengan uniform gimrama, ahli kawad dan juga trek untuk perarakan kereta klasik Cobra.


Secara tiba-tiba, adrenalinnya bergetar mengenangkan rasa gayat apabila terbayang dirinya terbang dari hujung stadium ke arah pentas. Selain terdengar jeritan manusia sebaik mereka dikejutkan bunyi helikopter. 

Gangguan dialaminya itu hakikatnya bukanlah sekadar angan-angan mahupun halusinasi. Akan tetapi kisah benar yang termaktub dalam lipatan sejarah industri muzik tempatan, sekali gus menjadi antara kenangan paling bermakna pernah dilalui Dato' Siti Nurhaliza Taruddin, 33, figura yang mesra membahasakan dirinya sebagai Siti.


Pada tanggal 30 Jun 2001, Siti pernah melangsungkan Konsert Mega Siti Nurhaliza di Stadium Putra, Bukit Jalil. Segala gambaran yang tercatat di atas adalah sebahagian daripada intipati yang dimuatkan Siti dalam persembahan konsertnya ketika itu.



 Selama 11 tahun membawa kenangan itu bersama hari-harinya, 2012 kembali merangsang penghibur yang baru saja memenangi Anugerah Seri Perak pada Anugerah Bintang Popular, Berita Harian pada 8 April yang lalu untuk kembali dengan sebuah konsert berskala besar dengan konsep yang lebih terkini dan segar. 


“Mengadakan konsert seperti di Stadium Putra Bukit Jalil pada 2001 yang lalu adalah sebahagian daripada impian Siti tahun ini . Sekalipun ia mungkin tidak sebesar yang dulu, sekurang-kurangnya Siti dapat muncul dalam sebuah konsert untuk peminat. 

Siti nak buat kemunculan semula seperti zaman sebelum kahwin, tetapi Insya-Allah mungkin selepas pilihan raya nanti, konsert berkenaan akan dilaksanakan,” katanya.  Kali terakhir Siti mengadakan konsert pada 2010 iaitu Konsert Satu Suara bersama Aizat dan Faizal Tahir, Konsert Bagaikan Sakti di mana dia bergandingan dengan Datuk M Nasir dan Siti Nurhaliza@Alumbra, Australia. 

Selepas Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Siti satu-satunya bintang tempatan yang pernah mengadakan konsert solo di pentas berprestij Royal Albert Hall, London. Malah, beliau juga artis solo pertama diberi kepercayaan membuat konsert di Istana Budaya dan Stadium Tertutup, Singapura. 

Konsert yang mahu dilaksanakan tahun ini bagi Siti bukan hanya sekadar medan untuk peminat berkumpul, tetapi juga aspirasi buat mereka yang menyokong karier nyanyiannya yang kini mencecah 17 tahun. 

“Kalau hendak cakap bagaimana Siti mempertahankan populariti, sebenarnya peminat Sitilah yang hebat. Sokongan mereka pada Siti sungguh luar biasa dan Siti berasa amat bertuah dianugerahkan peminat setia yang sedia menyokong Siti dalam apa jua keadaan pun. 

“Justeru, konsert yang dirancang adalah hadiah buat peminat sebenarnya yang sudah lama menantikan saat ini ,” katanya ditemui pada pelancaran SimplySiti Eau De Parfum (EDP) yang bertemakan ‘Masquerade Party’ di Hotel Double Tree, Jumaat lalu. 

kredit gambar dari www.budiey.com

Beralih topik kepada perniagaan yang diusahakan, selepas melancarkan produk Dermagic, label kecantikan SimplySiti kini mengeluarkan rangkaian produk wangian untuk wanita. Kelahiran wangian itu dua minggu sejurus ulang tahun SimplySiti diraikan pada 30 Mac lalu. 

Menjadi impian Siti sejak sekian lama untuk memiliki minyak wangi daripada jenamanya sendiri sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan lagi.  “Ini jujur Siti katakan hasrat untuk memiliki wangian jenama sendiri sudah lama tersimpan, tambahan pula sebelum ini pernah menjadi wajah kepada label kosmetik antarabangsa. 

“Akhirnya di bawah penubuhan SimplySiti, impian itu terlaksana. Bagaimanapun, Siti memperkenalkan barangan solekan terlebih dulu kerana minyak wangi sudah menjadi produk biasa yang mengaitkan nama artis lebih-lebih lagi artis antarabangsa. 

Siti dan suami (Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa) termasuk kakitangan SimplySiti tampil dengan strategi yang berbeza dengan memperkenalkan alat solek serta produk penjagaan kulit. Namun, pada masa sama, kami buat kajian untuk menghasilkan haruman terbaik di pasaran. 

“Alhamdulillah, Siti berjaya mengasaskan SimplySiti dan menghasilkan tiga haruman di bawah label ini selepas kejayaan produk kecantikan SimplySiti. “Insya-Allah, pada hujung tahun ini, Siti akan tampil dengan haruman yang lebih eksklusif di bawah nama Siti Nurhaliza bagi memenuhi impian dan pada masa yang sama khas untuk peminat,” katanya. 

Tiga variasi haruman terbaru keluaran SimplySiti adalah Pure, Precious dan Memoire dan semua bau-bauan ini dipilih Siti sendiri dengan setiap satu daripada haruman itu mempunyai identiti tersendiri. 


“Wangian adalah sebahagian daripada kehidupan manusia terutama setiap wanita yang sememangnya mempunyai fitrah untuk sentiasa kekal cantik, harum dan menarik. “Ini adalah satu-satunya wangian yang penuh inovasi kerana ia diformulasikan dengan Plant Betaphroline, menjadikan minyak wangi ini satu-satunya wangian yang boleh membantu pemakainya menjadi lebih harum. 

“Ia juga berkuasa untuk menghilangkan tekanan dengan merangsang penghasilan endorphin iaitu hormon gembira dalam kulit kita. Dengan itu, formulasi istimewa ini bukan sekadar wangian biasa kerana ia dapat membantu mengekalkan bentuk tubuh badan dan membangkitkan ‘mood’,” katanya. 

kredit gambar dari www.budiey.com

Tiga lelaki bertuah dipilih sebagai model iklan adalah penjaga gol pasukan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, ahli perniagaan muda, S M Khalis S M Zul juga Pengarah Ibex Group dan Adam Yahya. 

Model wanitanya dilakonkan Leuniey Natasha yang pernah dikaitkan bercinta dengan Khairul Fahmi Che Mat atau lebih mesra dengan panggilan Apex. 
Ketiga-tiga haruman itu juga boleh digunakan tanpa was-was kerana sudah pun mendapat kelulusan khas daripada Jakim. 


Sempena pelancaran wangian berkenaan, SimplySiti dengan kerjasama Metrowealth Pictures (MIG) dan Lisa Magazine menganjurkan pertandingan untuk mencari duta wangian berkenaan. Penyertaan pertandingan adalah melalui laman web simplysiti.com.my. Tiga pemenang pertandingan ini turut berpeluang berlakon filem terbitan MIG.

sumber : Harian Metro 16 April 2012


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...